Untuk bakal suamiku,
Wahai bakal suamiku, sesungguhnya dirimu amat ku nanti dalam perjalanan hidup ini. Di siang mahupun malam hari. Ku tulis warkah ini dari hati moga ia menjadi lakaran permulaan yang indah buat kita. Pertamanya aku ingin mengucapkan setinggi terima kasih kerana sudi mengambilku sebagai isteri. Terasa tidak lengkap kiranya aku hanya hidup bersendirian di alam ini tanpamu. Kebahagiaan kita sekeluarga berada di tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah tangga ini. Aku tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan, keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada mu.
Semasa engkau melamarku wahai suami, masa itu syukurnya hanya Allah yang tahu. Air mata ini mengalir tidak terasa, mengalirkan kegembiraan penuh makna. Udara itu senang untuk digapai. Rasa yang tidak pernah ku alami. Hargailah aku selalu.
Wahai suamiku, rindu itu buah cinta. Jika ia tiada maka cinta tidak akan berbuah dan layu. Oleh itu hidup denganmu aku berharap rindu itu sentiasa bersemi. Biarpun terkadang diisi dengan air mata dan kesakitan. Namun, perasaan itulah yang sentiasa ada buat kita. Suamiku, bahtera yang kita bina ini ku harap sentiasa utuh dalam perjalanan kita bersama. Kau suamiku adalah pelindung dan pengemudi bahtera ini.
Aku berharap pengorbanan yang bakal kita lalui adalah merupakan pahit ubat yang menjadi penyembuh. Tidak aku pengharapkan pengorbananmu semahal nabi Allah Muhammad s.a.w terhadap Khadijah, mahupun seutuh kasih nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Ismail. Suamiku, pengorbanan itu sesuatu yang perlu di waktu susah dan senang. Kerana ianya adalah mahar segala janji dan mahar yang paling berharga daripadamu.
Suamiku, aku berharap cinta kita terikat bersama dengan cinta kita terhadap Allah. Jika berkurang maka ditambah, jika bertambah maka syukur. Di dalam hidup, aku berharap kepadamu tidak mengangapku terlalu sempurna kerana aku hanya insan biasa. Bimbinglah tanganku dalam melayari lautan ganas bersamamu. Sesungguhnya engkau adalah cerminan bagiku. Jika berjaya engkau maka berjayalah aku, jika gagal maka gagallah aku. Ya Allah, terima kasih kerana dia ada dihati dan jiwaku.
Sekian daripadaku,
Bakal Isterimu.
Bakal Isterimu.
Untuk bakal isteriku,
Dalam batasan perjalanan waktu, saat hampir diikat denganmu terasa lapang dada ini. Pilihanku terhadapmu ku harap mendapat restu Ilahi. Tidak ada daya dan upaya ku untuk menentukan yang terbaik buat dirimu. Hanya DIA tempat berharap. Dalam bertatih di dunia ramai yang telah singgah mengajar berbagai erti. Hadirnya kamu wahai isteriku, ku harap dapat kau ajarkan aku erti marah, rajuk, rindu dan sayang.
Kesetiaan dan pengorbanan mu sebagai isteri dan ibu amat ku tagih. Bersama didalamnya kita bina keyakinan dan kesepaduan. Tanpa pengobanan maka tidak ada kebahagiaan. Marilah kita sama-sama belajar untuk melepas sesuatu demi menuntut sesuatu yang lebih berharga. Semoga menjadi insan terindah dalam mengharungi lautan mahupun denai kebahagaian.
Sesungguhnya hati ini setia padamu, padamu aku letakkan cinta terhadap seorang isteri. Agar engkau dapat menjagaku urusan dunia dan akhiratku. Sesungguhnya tipu daya tika ini sangat menakutkan. Dengan hadirmu wahai isteriku akan menambah seribu keyakinan dalam diriku. Menempis segala kekusutan dan tohmahan. Kerana hidup kita terlalu singkat, aku berharap kepadamu wahai isteriku agar kita tidak berlebihan atau berkurangan dalam segenap hal. Di dalam warkah ini ada kegembiraan, pengharapan dan keredhaan. Tatapilah ia buat bekalan kita nanti.
Sekian daripadaku,
Bakal Suamimu.
Bakal Suamimu.
No comments:
Post a Comment